Harimau Malaya ada peluang baik - Pan Gon
KUALA LUMPUR: Sekalipun berjaya mengelak daripada bertemu pasukan yang biasa beraksi di Piala Dunia, ia tidak bermakna skuad Harimau Malaya boleh menarik nafas lega.
Ini kerana pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon mengingatkan anak buahnya supaya tetap perlu berwaspada dengan dua pasukan yang berada di ranking lebih tinggi berbanding Malaysia iaitu Oman dan Kyrgyzstan.
"Semua pasukan adalah kuat namun secara keseluruhan saya gembira ada peluang yang baik dan beri motivasi kepada kita untuk beraksi dengan bagus.
"Ia akan bergantung kepada persediaan kita untuk mempertingkatkan keupayaan pasukan sebagai persediaan untuk mengharungi aksi kelayakan itu," katanya ketika ditemui selepas majlis undian pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di ibu pejabat Konfederasi Bolasepak Asia(AFC), hari ini.
Terdahulu, Oman yang berada di ranking ke-73 dan Kyrgyzstan di ranking ke-97 bakal menjadi dua pencabar utama buat Malaysia bagi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala 2027 bermula November depan.
Ini selepas skuad Harimau Malaya diundi bersama pasukan terbabit dalam Kumpulan D dengan pemenang antara Taiwan dan Timor Leste melengkapkan satu lagi pasukan dalam Kumpulan D.
Sebagai rekod, Malaysia sebelum ini pernah bertemu Oman sebanyak empat kali namun tewas semua empat aksi.
Skuad Harimau Malaya yang kini menduduki ranking ke-136 dunia hanya pernah bertemu Kyrgyzstan dalam satu perlawanan yang berlangsung di Stadium Hang Jebat pada 2018 namun tewas tipis 1-0.
Ulasan
Catat Ulasan