Korea, Jepun pilihan terbaik buat Arif Aiman

 

Arif Aiman (kiri) tampil konsisten sejak membarisi skuad JDT.
Arif Aiman (kiri) tampil konsisten sejak membarisi skuad JDT.
LIGA di negara Asia Barat seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE) bukan tempat sesuai buat bintang sensasi, Arif Aiman Hanapi jika dia mahu melebarkan sayap bermain di luar negara.

Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah berkata, Arif Aiman perlu memilih untuk berkelana ke Jepun atau Korea Selatan yang menjanjikan masa depan yang lebih baik.



Menurutnya, Arif Aiman disarankan mengikut jejak pemain berbakat Thailand, Chanatip Songkrasin yang mendapat tempat dalam Liga Divisyen 1 (J1) Jepun bersama Hokkaido Consadole Sapporo dan Kawasaki Frontale.

“Liga Arab seperti Arab Saudi sekarang ini sudah tak pandang pemain Asia langsung walaupun pemain itu sangat bagus. Mereka lebih cenderung kepada pemain Eropah.

“Lagipun, Liga Arab ini ada masalahnya tersendiri, dia ambil pemain dan kalau pemain itu tak bagus dalam dua atau tiga perlawanan, dia akan buang terus. Itu perkara biasa di Liga Arab.

“Bagi saya liga di Jepun atau Korea lebih bagus kerana di sana lebih berstruktur dan mereka jaga pemain. Arif Aiman boleh bermula dengan Liga Divisyen 2 (J2) Jepun dahulu.

Laporan Sukan Sinar pada Ahad.
Laporan Sukan Sinar pada Ahad.

“Kalau Arif Aiman bermain dengan baik, saya percaya sudah tentu kelab-kelab Liga J1 akan ambil dia,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

 

Terdahulu, bekas pemain negara, Safee Sali mencadangkan agar Arif Aiman berkelana ke negara Arab seperti Liga UAE untuk mengembangkan bakatnya.

Namun, Safee menyifatkan Arif Aiman masih berada di landasan tepat untuk terus menjadi seorang pemain yang berkualiti berdasarkan asuhan yang cukup lengkap diterimanya di JDT.

Dalam masa sama, Effendi senada dengan kenyataan Safee sambil menegaskan, Arif Aiman perlu terus berada di Harimau Selatan untuk tempoh sekurang-kurangnya dua musim lagi.

“Dia masih muda dan baru berumur 21 tahun. Pendapat saya, TMJ (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) mahu membentuk Arif Aiman dua atau tiga tahun lagi.

“Kita kena pastikan dia konsisten sebab pemain ini ada prestasi naik dan turun. Sekarang ini saya rasa dalam dua musim dia dah konsisten.

“Mungkin satu lagi musim di JDT untuk tengok dia boleh konsisten atau tidak. Selepas itu, barulah nilai semula prestasinya sama ada kekal di JDT atau berhijrah ke luar negara,” ujarnya.

Ulasan

Catatan Popular