Bekas Pemain Manchester United Berminat Dengan Liga Malaysia



BEKAS bintang Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) Manchester United, Andrei Kanchelskis bersedia melatih mana-mana pasukan Liga Malaysia jika menerima tawaran bersesuaian.

"Tidak ada masalah jika bersesuaian. Saya tidak tahu banyak mengenai bola sepak Malaysia," kata Kanchelskis ketika ditemui di Padang Taman D R Seenivasagam, malam tadi.

"Mungkin baik juga kerana suasana persekitaran dan corak bola sepak di sini berbeza dengan Eropah.”

Bekas pemain tengah kebangsaan Russia itu yang ketika ini mengendalikan akademi bola sepak di negaranya itu berada di Malaysia atas jemputan seorang kenalan.

Dia juga kini adalah Naib Pengerusi World Charitable Foundation yang berpangkalan di London, yayasan itu dalam proses mengumpul dana untuk pemain bola sepak yang maut dalam nahas pesawat udara.

"Ini kali kedua saya datang ke Malaysia. Negara anda cantik, aman dan damai," katanya selepas sesi berkenalan dengan pemain Liga Super dan Piala Presiden Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC.

Kanchelskis, 49, juga sempat menurunkan tanda tangannya di jersi lama MU milik beberapa orang peminat yang hadir.

Program itu adalah kerjasama antara PKNP FC dengan syarikat Skyhawk Apperals.

Ulasan

Catatan Popular