Punca Sebenar Paulo Rangel Masih Tidak Dapat Menyertai Kedah FA



BIARPUN pemain Brazil, Paulo Rangel sudahpun berada di Alor Setar semalam namun kontrak belum dapat ditandatangani berikutan masih menunggu lampu hijau dari kelab Liga Thailand, Nakhonratchasima FC.

Kelab tersebut difahamkan masih mahu menggunakan khidmat penyerang berusia 33 tahun itu menghadapi Chiangrai United bagi perlawanan ke-17 mereka pada 26 Mei di United Stadium of Chiangrai.


Sumber dalaman KFA berkata, Nakhonratchasima FC hanya akan melepaskan Rangel pada 1 Jun iaitu 2 hari sebelum tempoh pintu perpindahan kedua pemain Liga Malaysia 2018 ditutup.

Menurutnya, situasi tersebut menyaksikan usaha untuk mengikat penyerang baharu itu sedikit tergendala walaupun KFA dan Rangel sudahpun bersetuju dengan syarat kontrak yang dibincangkan.

"Kedah bercadang untuk mendapatkan Rangel sebelum Sabtu ini (26 Mei) kerana pada tarikh tersebut pasukan itu akan bertemu Selangor di Stadium Cheras namun nampaknya hasrat itu mungkin tidak kesampaian kerana pada waktu yang sama Nakhonratchasima FC juga mahu menggunakan khidmat pemain tersebut di Thailand.

"Buat masa sekarang Kedah berusaha untuk mendapatkan pemain itu lebih awal dan hanya menunggu lampu hijau kelabnya kerana bimbang pada saat-saat akhir akan berlaku perkara yang tidak diingini seperti kelewatan dokumen Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC)," katanya ketika dihubungi Sukan Sinar.

Sumber itu berkata lagi, bagaimanapun KFA kini bersedia dengan segala kemungkinan pada penghujung tempoh perpindahan sebelum 3 Jun ini dari kelab Thailand itu.

Jelasnya, hal itu turut merencatkan perancangan Ketua Jurulatih, Mohd Nidzam Adzha Yusof yang mahu mendapatkan Rangel secepat mungkin untuk membantu jentera serangan pasukan berkenaan.

"Kita lihat dengan jelas memang Rangel sudah bersedia dan serius mahu beraksi dengan Kedah apabila beliau sudahpun turun meninjau latihan pasukan di Padang Mini Peremba selain berjumpa dengan pegawai KFA," katanya.

Ulasan

Catatan Popular