Inilah Pemain Bintang Yang Digugurkan Argentina Ke Piala Dunia
BUENOS AIRES: Penyerang Inter Milan kelahiran Argentina, Mauro Icardi, yang juga penjaring terbanyak liga Itali tidak terpilih mewakili kempen negaranya ke Piala Dunia 2018 Russia.
Nama bintang itu digugurkan pengendali Argentina, Jorge Sampaoli daripada senarai 23 pemain yang dimuktamadkan semalam.
Icardi menjaringkan gol ke-29 Ahad lalu ketika membantu Inter menang -3-2 ke atas Lazio untuk slot ke Liga Juara-Juara musim depan namun dia bersama 12 pemain lain tercicir ke Russia meskipun minggu lalu namanya disenaraikan dalam 35 pemain pilihan awal untuk ke kejohanan itu.
Pemain berusia 25 tahun itu tampil pertama kali membantu kempen Argentina pada Oktober 2013 namun selepas itu empat tahun berkelana ke Itali sebelum sekali lagi dipanggil September lalu untuk membantu Argentina mengharungi kempen kelayakan Piala Dunia 2018.
Argentina yang tewas 0-1 di tangan Jerman dalam masa tambahan final Piala Dunia 2014 di Brazil sekali lagi bergantung kepada sentuhan pemain bintangnya, Lionel Messi yang mungkin menjadi kempen terakhirnya.
Penerima anugerah Ballon d’Or lima kali itu bakal mengetuai barisan serangan Argentina bersama gandingan pemain Juventus, Paulo Dybala dan Gonzalo Higuain bersama peledak Manchester City, Sergio Aguero.
“Matlamat kami adalah untuk mencapai tahap tertinggi di Piala Dunia. Kami akan berdepan saingan yang sangat sengit. Kami akan bergantung kepada corak permainan menyerang,” kata Sampaoli kepada media di Kem Latihan Kebangsaan di Ezeiza, dekat Buenos Aires, hari ini.
Argentina melangkah ke Russia selepas hatrik Messi dalam kempen tyerakhir pusingan kelayakan mengatasi Ecuador 3-1.
Dalam aksi persahabatan yang tidak menurunkan Messi, Argentina pernah diaibkan 4-2 oleh Nigeria in Krasnodar pada November tahun lalu dan kemudian kalah -1-6 di tangan Sepanyol Mac lalu.
“Saya lihat dia dalam prestasi terbaik dan sangat teruja menjalani latihan selepas menang gelaran liga bersama kelabnya,” kata Sampaoli mengenai Messi, yang menjaringkan 45 gol dalam 54 perlawanan bersama Barcelona musim ini.
Argentina diundi dalam Kumpulan D bersama Croatia, Nigeria dan Iceland.
Ulasan
Catat Ulasan