Pesanan Penting Nik Akif Untuk Pemain-Pemain Kelantan
PEMAIN Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat mahu rakannya menyekat penyerang Kuala Lumpur, Guilherme de Paula apabila kedua-dua pasukan itu berentap dalam saingan Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Selasa ini.
Nik Akif Syahiran itu berkata, kelibat penyerang import berbisa Brazil sudah pasti menjadi sandaran skuad kendalian Fabio Marciel untuk bangkit memburu kemenangan selepas mereka tewas dua perlawanan berturut-turut.
“Ketika menang (4-2) ke atas Kuala Lumpur dalam pusingan pertama, Guilherme tidak bermain akibat penggantungan tetapi sekarang dia kembali beraksi malah menjaringkan satu gol ketika pasukannya tewas kepada PKNS FC.
“Kehadiran dia sudah pasti mempertajamkan semula jentera serangan mereka dan dalam masa sama kita juga perlu waspada dengan Mohd Zaquan Adha (Abd Radzak) dan Ashri (Chuchu),” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Pemain tengah berusia 19 tahun itu bagaimanapun yakin benteng pertahanan mereka diterajui dua awang import, Cassio de Jesus dan Alaeddine Bouslimi mampu merantai pergerakan penyerang yang terkenal dengan jolokan Wak Doyok itu.
“Kehadiran import baharu, Alaeddine bakal membentuk gandingan mantap bersama Cassio selaku tonggak senior berpengalaman dalam pasukan ini dan saya yakin mereka dapat mengekang Guilherme,” katanya.
Dalam masa sama, pemain skuad B-19 kebangsaan itu berharap The Red Warriors kembali menemui rentak kemenangan selepas kalah kepada PKNP FC di laman sendiri, dalam aksi terakhir.
“Insya-ALLAH dengan barisan pemain yang ada sekarang, saya rasa Kelantan mampu mendapatkan tiga mata. Tak mustahil kita boleh kalahkan Kuala Lumpur sekali lagi sebagaimana dibuktikan ketika aksi di Kota Bharu, dua minggu lalu,” katanya.
Sementara itu, mengulas saingan Liga Super yang berlangsung sepanjang Ramadan, Nik Akif Syahiran mengakui ia merupakan pengalaman pertamanya, sejak menyertai skuad senior, pada musim ini.
“Sedikit penat kerana terpaksa menjaga pemakanan dan rehat pula tidak seperti biasa. Kami kena jaga makan sebelum turun berlatih tapi itu bukan masalah besar buat saya,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan