Bibi Ramjani Dedah Kenapa Kelantan Menggugurkan Ghaddar



KOTA BHARU – Mohammed Ghaddar dan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berpisah secara rasmi pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, khidmat bekas penjaring terbanyak Liga Super musim lalu terpaksa ditamatkan lebih awal atas faktor kecederaan jangka panjang. 


“Penamatan kontrak antara Kafa dan Mohammed Ghaddar dibuat atas persetujuan bersama selepas kedua-dua pihak mengadakan perbincangan lanjut mengenai perkara ini.

“Dia mengalami kecederaan ACL (anterior cruciate ligamen) dan memerlukan satu tempoh yang agak lama untuk kembali pulih,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Awal musim ini, Kafa cetus sensasi apabila bertindak membawa masuk bekas penyerang Johor Darul Ta’zim itu bagi menggantikan Morgaro Gomis sehari sebelum tirai pendaftaran pertama Liga-M berakhir, 12 Februari lalu.

Namun sepanjang tiga bulan menyarung jersi TRW, penyerang berusia 34 tahun itu hanya mampu meledak dua gol iaitu masing-masing satu dalam Liga Super dan kempen Piala FA.

Ditanya mengenai pengganti bekas pemain antarabangsa Lubnan itu, Bibi Ramjani memberitahu, pihaknya akan merujuk kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) terlebih dahulu memandangkan Kelantan masih berdepan sekatan perpindahan pemain.

Menurutnya, Kelantan jelas sedikit bernasib baik apabila berjaya mendaftarkan Alaeddine Bouslimi (Tunisia) selepas mendapat kelonggaran daripada badan pengendali liga domestik berkenaan.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengumumkan Kelantan telah mendapatkan khidmat bekas pemain Kuantan FA, Ahmad Haziq Ahmad Puad yang didaftarkan bersama pasukan itu. 

“Ahmad Haziq beraksi di posisi sayap dan telah mengikat kontrak bersama Kelantan selama enam bulan sehingga hujung musim ini,” katanya.

Ulasan

Catatan Popular