"MAMA, BANGUNLAH... RAMAI ORANG DATANG NI.." - ANAK KECIL KEJUTKAN JENAZAH IBUNYA

Kejutkan jenazah ibu

"MAMA, BANGUNLAH... RAMAI ORANG DATANG NI.." - ANAK KECIL KEJUTKAN JENAZAH IBUNYA

"Mama, bangunlah...ramai orang datang rumah kita," kata Nur Adni Afeera Shahrul Raziman, tiga tahun, yang cuba mengejutkan jenazah ibunya, Mahfuzah Ishak, yang disangka sedang tidur. 

Melihat ibunya tidak memberi sebarang reaksi, Nur Adni Afeera beralih melihat jenazah adiknya Muhammad Harraby Zafran, setahun, sebelum berpaling ke arah orang ramai dan menyatakan adiknya 'sakit'.

Keletah Nur Adni Afeera menyebabkan orang ramai mengalirkan air mata, manakala ayahnya Shahrul Raziman Osman, 33, tergamam melihat jenazah dua beranak itu di ruang tamu rumah keluarga Mahfuzah di Kampung Lepar Hilir 1, dekat sini, malam tadi.

Mahfuzah, 28, seorang kerani di kilang automotif di Pekan dan Muhammad Harraby Zafran meninggal dunia akibat kecederaan teruk di bahagian kepala dan dada selepas kenderaan yang mereka naiki terbabas dan merempuh pembahagi jalan, jam 6 pagi semalam.

Kemalangan berlaku di KM403.9 Lebuhraya Utara Selatan dekat Lembah Beringin, berhampiran pekan Hulu Selangor.

Kereta dipandu Shahrul Raziman. Turut berada dalam kenderaan itu, ibu Shahrul Raziman, Razimah Chik, 63.

sans-serif;">Jenazah kedua-dua mangsa dibawa ke sini bagi menunaikan permintaan ibu arwah, Norhikmah Abdullah Sani, 54, yang lumpuh untuk melihat mereka sebelum dikebumikan di kampung Shahrul Raziman di Kampung Telok, Pekan, lewat malam ini.

Shahrul Raziman yang bekerja dalam bidang teknologi maklumat berkata, mereka dalam perjalanan untuk bercuti dan melawat saudara-mara sebelah ayahnya di Jeniang, Kedah apabila kemalangan berlaku.

"Kami bertolak dari Pekan pada jam 11 malam semalam (kelmarin). Ia tidak dirancang kerana rancangan untuk ke sana hanya difikirkan pada raya ketiga. Tambahan pula ayah saya telah bertolak ke sana (Jeniang) sehari sebelum dengan menaiki bas," katanya.

Beliau menyatakan kesal apabila tiada kenderaan yang berhenti untuk membantu meskipun beliau memberi isyarat meminta bantuan.

Hanya dua penunggang motosikal yang berhenti selepas 10 minit beliau berdiri di tepi jalan.

Sementara itu, ayah mangsa, Ishak Muhammad, 56, berkata kali terakhir beliau bertemu anak ketiga daripada lima beradik itu ialah pada jam 3 petang kelmarin, sebelum anaknya bergegas pulang ke Pekan.

"Saya pula ditahan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (Kuantan) akibat keracunan makanan pada jam 4 petang. Saya juga tidak tahu mereka akan pulang ke Kedah.

"Saya diberitahu anak meninggal dunia pada jam 10 pagi ini (semalam). Saya bersyukur dibenarkan pulang ke rumah pada jam 3 petang. Sekurang-kurangnya saya dapat melihat mereka untuk kali terakhir," katanya.

BHarian

Ulasan

Catatan Popular