Langkau ke kandungan utama

Punca Sebenar Razman Tolak Panggilan Dollah




KUALA LUMPUR - Kapten Pahang, Mohd. Razman Roslan memberi tamparan kepada pengendali Harimau Malaya, Dollah Salleh apabila menolak panggilan jurulatih itu untuk beraksi buat skuad Pilihan Malaysia dalam aksi persahabatan menentang Liverpool pada 24 Julai ini.

Razman, 32, yang merupakan tonggak pertahanan Tok Gajah berkata, dia sudahpun memaklumkan kepada Dollah mengenai keputusan tersebut kerana merasakan dirinya tidak cukup bersedia untuk beraksi dalam perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu.
“Saya mahu tarik diri.”

Itu jawapan ringkas Razman sejurus menerima panggilan menyertai Pilihan Malaysia.
“Saya fikir saya mahu tarik diri daripada menyertai Pilihan Malaysia untuk perlawanan menentang Liverpool pada 24 Julai ini kerana saya tidak bersedia untuk menggalas tanggungjawab tersebut.
“Kalau difikirkan semula, adalah lebih baik saya menarik diri daripada menerima panggilan tersebut kerana kalau saya tak bersedia sudah tentu saya tak boleh nak memberi yang terbaik kepada pasukan.
“Saya sudah beritahu kepada jurulatih mengenai hal ini tadi (semalam) dan dia akan memberi kata putus. Tapi kalau dia tetap mahu menggunakan khidmat saya, saya akur,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Razman, dia turut berasa hairan mengapa namanya dipanggil sewaktu dirinya berada dalam keadaan tidak bersedia, namun tidak dipanggil ketika bersedia.

Malah, dia juga hairan mengapa pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang kebiasaannya kerap mewarnai Harimau Malaya tidak dipanggil untuk perlawanan itu.

“Saya pelik kenapa setiap kali saya berada dalam keadaan bersedia nama saya tidak dipanggil tapi apabila saya tidak bersedia nama saya dipanggil. Kenapa baru sekarang?

“Saya juga hairan kenapa pemilihan yang dibuat kali ini tidak mempunyai pemain Johor Darul Ta’zim. Apa, kalau sudah tiada pilihan baru nak panggil saya. Macam itu?

“Jujur saya cakap saya main dengan penuh keikhlasan sebab itulah satu-satunya cara saya untuk membalas kepercayaan yang diberikan oleh pasukan saya,” katanya, yang terakhir membuat penampilan bersama Harimau Malaya ketika membantu Malaysia menewaskan Kemboja 4-1 dalam aksi persahabatan, September lalu.
Razman turut memberitahu, dia tidak gentar jika keputusannya itu menutup ruang buat dirinya menyarung jersi pasukan kebangsaan pada masa hadapan.

“Saya sudah tua umur pun dah 32 tahun. Ramai lagi pemain muda yang boleh mewakili negara dan saya fikir ia tidak menjadi masalah untuk skuad Harimau Malaya,” ujarnya.

Berdasarkan senarai yang dikeluarkan, Dollah tidak menyenaraikan seorang pun pemain JDT seperti kelaziman, sebaliknya pengendali itu meletakkan Safiq Rahim dan Mohd. Amri Yahyah dalam barisan simpanan.

Lima wajah baharu dipanggi Dollah iaitu penjaga gol, Muhammad Zamir Selamat (Perak), Razman (Pahang), Nazirul Naim Che Hashim (Harimau Muda B), Baddrol Bakhtiar (Kedah) dan Norshahrul Idlan Talaha (Terengganu).
Dollah hanya mengekalkan 10 daripada 23 pemain yang mengharungi dua aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019, yang menyaksikan Harimau Malaya seri 1-1 pada 11 Jun sebelum dibelasah 0-6 oleh Palestin (16 Jun).

Antara pemain yang tidak tersenarai adalah penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan) Muslim Ahmad (PDRM), Indra Putra Mahayuddin (Felda United) dan R. Gopinathan (Pahang).
Sembilan pemain JDT iaitu Farizal Marlias, Fadhli Shas, Junior Eldstal, S. Kunanlan, Mahalli Jasuli, Safiq, Amri, Safee Sali dan Nazrin Nawi turut tiada dalam senarai kali ini.

Tiga pemain import dikekalkan iaitu Ashfaq Ali (PDRM), Robert Cornthwaite (Selangor) dan Thiago Junio Aquino (Perak) serta dua muka baharu - Dickson Nwakaeme (Pahang) dan Zah Rahan Krangar (Felda United), manakala Paulo Rangel (Terengganu) dan Guilherme De Paula (Selangor) yang beraksi ketika bertemu Tottenham Hotspur tidak tersenarai.
- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/razman-tolak-panggilan-dollah-1.113939#sthash.bvnECQvl.dpuf

Ulasan

Catatan Popular